Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan
masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak
pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan
urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain.
Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka
perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk
menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak
menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan
hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan
bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara
dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan
masyarakat dapat ditingkatkan.
Sebenarnya
terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat
patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada
caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.
Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah
semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa.
Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan
masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan
perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.
Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat
pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat
patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian
tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan
memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut
dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara
itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam
peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal
yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari
murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau
pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.
Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran
melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat
patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang
kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita
Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik
seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan
meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan
perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau
program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan
rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media
elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”,
“Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan
negara.
Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian
dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan
masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh
dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu,
aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman
perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan
Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang
semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada
pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat
kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat
memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara
kaum di negara kita.
Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat
tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu,
anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang
memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu
mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang
telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang
kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal
ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati,
dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak
dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati
sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada
generasi yang akan datang.
Oleh
hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik
perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana,
semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta
akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada
bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat
patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri
dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat,
setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat
patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka
tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati
diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan
peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan
disuburkan dalam kalangan masyarakat.
(source from : http://anelyza.blogspot.com/2009/09/usaha-usaha-untuk-meningkatkan-semangat.html)
No comments:
Post a Comment